Tuesday, March 14, 2006

Ust Ghazali Kadir

Pendahuluan

Penduduk kampung kelahirannya melihat anak muda ini agak pendiam dan tidak begitu kenali. Maklumlah di masa kecilnya, bapa beliau Lebai Abdul Kadir telah berhijrah ke utara tanah air ketika negara direndung dharurat akibat angkara subersif kominis. Bapanya itu dikatakan antara sasaran gerombolan kominis yang bermaharajalela dan ramai penduduk kampung yang dianggap 'unggul' dicolek dan dibunuh oleh pasukan bintang tiga. Kemuncaknya, penduduk sekitar mukim berhampiran telah bersatu di bawah pimpinan orang-orang alim dan mencetuskan peristiwa bersejarah 'Perang Batu Kikir'. Dalam tragedi berdarah itu, pergerakan tersusun dari beberapa penjuru dan gema ratib zikir perang telah mengasak pekan kecil Batu Kikir yang menjadi benteng gerombolan kominis. Di sana terbukti kebatilan bagai kayu buruk dilambung gelombang arus kebangkitan semangat perang sabil.
Pendidikan
.
Ustaz Haji Ghazali dilahirkan di Kampung Jerejak, Padang Lebar pada tanggal 1 Mei 1937. Beliau mendapat pendidikan awal dari beberapa pondok di negeri Kedah dalam tahun 1940an. Bapanya salah seorang tenaga pengajar di Pondok Guar Tuan Syed di Seberang Perai hingga tahun 1950an. Kemudian Ust Ghazali memondok pula dengan Tuan Guru Haji Abdul Majid di pondok Batu Kikir, Pondok Merbok, Kedah dan seterusnya di Madrasah Al Attas, Johor Bahru. Antara sahabatnya ketika menuntut di Al Attas ialah al Fadhil S. Samahah Dato' Syeikh Haji Mohd Murtadza mufti kerajaan Negeri sembilan sekarang.
.
Beberapa tahun berikutnya, beliau mendapat kesempatan melanjutkan pengajian di Al Baqiatus-sholihat Villor dan Kolej Arab Jamaliah di Madras, India. Di pusat pengajian inilah beberapa tokoh agama terkenal di negara kita mendapat pendidikan terutama ulama-ulama dalam kepimpinan PAS. Ustaz Ghazali pernah melahirkan kekecewaannya kerana hasrat untuk memasuki Al Azhar Mesir terkandas disebabkan masalah kewangan yang menghimpit keluarganya masa itu.
.
Guru agama
.
Sekembalinya ke tanahair, beliau telah mengajar di Sekolah Menengah Chembong, Rembau dan sekolah terakhirnya di Sekolah Menengah Tunku Ampuan Durah, Seremban. Beliau mula menunjukkan kecederungan untuk aktif dalam gerakan Islam sejak di bangku sekolah lagi dan ketegasannya tidak sanggup berkompromi dalam aktiviti tidak Islamik di sekolah, akibatnya beliau mula ditekan dan akhirnya dipindahkan sebagai guru agama di penjara Seremban.
.
Kerjaya
.
Selepas bersara wajib dari perkhidmatan, Ustaz Ghazali melibatkan diri dalam bidang penulisan di negerinya dan pernah dilantik menjadi pemberita sambilan bagi akhbar perdana Berita Harian. Di samping itu penglibatan beliau dalam perkhidmatan bersama agensi menunaikan umrah dan haji juga terserlah. Beliau turut bersama dalam perjuangan PAS dan pernah diamanahkan menerajui kepimpinan PAS Negeri sembilan sebagai Pesuruhjaya dalam era kepimpinan ulama di akhir 1990an. Allahyarham Ustaz Ghazali juga terus aktif memberi kuliah agama di beberapa masjid dan surau di Daerah Seremban sehingga ke akhir hayatnya.
.
Meninggal dunia
.
Allahyarham Ustaz Ghazali Kadir menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Besar Seremban dan sebelum itu beliau baru kembali dari menunaikan umrah. Allahyarham telah meninggalkan seorang balu dan sepuluh orang anak. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Makam Syeikh Mohd Said di Jalan Sikamat, Seremban. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya. Amin.