Friday, June 30, 2006

Ulama Rembau



Haji Mohd Yatim Bin Zainal Abidin ( 1903 – 1979)

Latar Belakang

Allahyarham Haji Mohd Yatim Bin Zainal Abidin dilahirkan dalam tahun 1903 bersamaan 1320 Hijrah di Kampung Tanah Datar, Kota dalam Daerah Rembau. Bapanya dari suku Tanah Datar dan manakala ibunya orang Biduanda. Beliau anak pertama dari dua adik beradik.

Pendidikan

Haji Mohd Yatim mula mendapatkan pendidikan di Sekolah Melayu Kota sehingga Darjah Empat. Bapanya menyimpan hasrat supaya anak lelakinya itu menjadi orang alim dalam agama. Lalu beliau menghantar Allahyarham mengaji agama di pondok- pondok dalam Negeri Kedah dan Kelantan ketika usianya menjangkau 20an. Mengikut riwayatnya, beliau pernah berguru dengan Allahyarham Tok Kenali tokoh ulama terbilang dari Kelantan. Sekembalinya ke kampung halaman, beliau bertemu jodoh dengan Hajjah Aminah Binti Haji Tahadan ketika usianya telah 32 tahun. Mereka dikurniakan anak lelaki dalam tahun 1936.

Belayar Ke Mekah

Tidak beberapa lama selepas itu, Allahyarham membawa isteri dan anak kecilnya menunaikan rukun Islam kelima. Beliau bertekad untuk menetap di Mekah untuk melanjutkan pengajian agamanya. Allahyarham menuntut di Darul Ulum Masjidilharam Al Makkahtul Al Mukarramah. Mereka memperolehi anak perempuan di sana tetapi Allah SWT lebih menyayangi puterinya ini dan meninggal dunia dalam usia masih kecil. Dijangkakan Haji Mohd Yatim menuntut di Mekah selama hampir 4 tahun sebelum balik ke tanahair.

Membuka Madrasah

Sekembalinya dari Mekah, Allahyarham terus menggunakan ilmu yang telah dipelajari untuk berbakti. Beliau telah menubuhkan sebuah sekolah pondok di kampungnya di Ulu Gadong. Selepas dua tiga tahun membuka pondoknya, Allahyarham Haji Mohd Yatim prihatin dengan kedhaifan anak-anak yatim dan miskin untuk mendapat pengajian agama. Dengan tekad dan sokongan penduduk-penduduk kampungnya, mereka akhirnya mendirikan Madrasah Itthihadiah Ulu Gadong dan sebuah asrama untuk dihuni oleh anak-anak yatim dan miskin secara percuma. Allahyarham Haji Mohd Yatim memberikan segenap tenaganya untuk menghidupkan madrasah yang telah didirikan.

Haji Mohd Yatim juga mengajar agama sebelah malamnya di surau-surau atau masjid sekitar Daerah Rembau sehingga akhir hayatnya. Beliau juga adalah pengasas Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Dan Miskin Ulu Gadong. Mungkin kerana kegigihan dan kealimannya maka Dato' Haji Ipap bin Haji Abdullah, Undang Luak Rembau ketika itu telah melantik Allahyarham menjadi Kadhi Daerah Rembau bagi tahun 1954 hingga 1968.

Perwatakan

Menurut anak-anaknya, bapa mereka berperwatakan lemah lembut, tekun dalam mencari ilmu dan mendidik, mudah tersenyum dan penyabar. Sikap ini tentu menepati gaya peribadi unggul seorang guru dan alim pula dalam agama. Beliau juga seorang bersederhana dalam berpakaian dan sering berserban, berbaju Melayu dan berkain pelekat sahaja.

Dengan isterinya Hajjah Aminah Binti Haji Tahadan, mereka dikurniakan 11 orang cahaya mata iatu 4 lelaki dan 7 perempuan. Setelah isterinya meninggal dunia, Allahyarham berkahwin kali kedua dengan Hajjah Sarah Binti Haji Maarof tetapi tiada memperolehi anak.

Meninggal Dunia

Allahyarham yang telah menginfakkan sebahagian besar tenaga dan usianya kepada pendidikan agama ini akhirnya dijemput Allah SWT sewaktu usianya 76 tahun. Beliau kembali ke rahmatullah pada tanggal 13 April 1979. Atas segala baktinya itu, sekolah yang didirikannya ( telah diambil alih oleh Kerajaan) diberi nama Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim. Beliau juga dianugerahkan Pingat Khidmat Lama ( PKL) dan dinobatkan sebagai Tokoh Ulama Silam Negeri Sembilan sempena Sambutan Maal Hijrah 1423 yang lalu. Kita berdoa semoga ulama yang gigih ini diberkati Allah SWT jua atas sumbang bakti beliau dalam mendidik anak bangsanya. Amin.
Haji Abdul Ghani Mohd Nor ( 1887 – 1937 )

Tempat Lahir

Allahyarham Haji Abdul Ghani Mohd Nor dilahirkan di Chengkau, Rembau dalam tahun 1887. Beliau dari suku Tanah Datar. Dikatakan pernah belajar di Sekolah Melayu Chengkau tahun 1900. Kemudian mengaji agama dengan Allahyarham Haji Mustapha Linggi selama 5 tahun.

Jawatan Kadhi

Dalam tahun 1926, beliau dilantik sebagai Kadhi Daerah Tampin. Semasa hayatnya Haji Abdul Ghani pernah juga berkerja sebagai guru agama dan mengajar agama di masjid dan surau-surau dalam Daerah Tampin. Beliau seorang pembaca Al Quran yang terkenal dan apabila ada majlis-majlis agama, beliau kerap pula dijemput untuk membaca ayat-ayat suci Al Quran dan berqasidah.

Meninggal Dunia

Allahyarham Haji Abdul Ghani meninggal dunia di Tampin dalam tahun 1937 sewaktu usianya 50 tahun.