Ustaz Ishak Mat Aris
Pendahuluan
Ketika kempen pilihanraya semakin rancak selepas pembubaran parlimen tahun 1990, kami di Lajnah Penerangan Negeri sedang menyusun program ceramah berkelompok bagi kawasan-kawasan yang akan ditandingi oleh PAS. Saya mencadangkan beberapa nama veteran PAS yang mempunyai kebolehan untuk bercakap mengenai perjuangan PAS kerana peluang untuk menjemput tenaga penceramah dari luar agak sukar. Antara veteran PAS yang saya kenali kebetulan sekampung pula ialah Allahyarham Ustaz Ishak Mat Aris atau panggilan di kampung ialah Lebai Sahak, Allahyarham Haji Sulaiman Md Amin dan Allahyarham Haji Aziz Kampung Geylang, Jelebu.
Mereka memang ‘hardcore’ dan mampu berdiri bercakap lama tentang perjuangan Islam yang diterajui oleh PAS. Di antara mereka bertiga itu, Allahyarham Haji Abdul Aziz paling ‘kogheh’ bila tercabar. Beliau mampu berhujah dan ayat-ayat alQuran keluar macam air dari mulutnya. Haji Sulaiman pula lebih banyak bercakap tentang sejarah PAS dan bacaan beliau tentang susur galur parti-parti politik tahun 50an dan 60an cukup mengkagumkan. Haji Sulaiman dan Lebai Sahak pernah berkerja di Singapura, sehinggakan ada cakap-cakap orang bahawa nama Kampung Geylang ( nama dalam pentadbiran negeri ialah Kampung Gelang) di Pertang itu diserasikan oleh mereka berdua. Kehadiran mereka di kampung memang dicemburui oleh jejuak UMNO lantaran keketalan mereka dalam perjuangan PAS. Terbinanya Balai Islam ( surau) di tanah Haji Sulaiman menjadi tumpuan orang ramai.
Di Balai Islam itulah juga Lebai Sahak menyampaikan kuliah agama secara mingguan. Di sana jugalah beliau menghembuskan nafas terakhirnya ketika mempengerusikan mesyuarat Lajnah Bangunan BPPNS pada tanggal 18 Mei 1997.
Latar Belakang
Ustaz Ishak Mat Aris dilahirkan di Mukim Seri Menanti pada 24 Julai 1932. Memulakan kerjayanya sebagai tentera British di Singapura dalam tahun 1950an dalam bidang automobil. Beliau mempunyai kepakaran dalam kajisawat injin kenderaan dan pernah membuka pusat latihan kajisawat kenderaan di Kuala Pilah selepas bersara dari tentera. Jasa beliau membuka pusat ini mendapat pengiktirafan Menteri Besar waktu itu. Ramai tenaga belia anak-anak bangsa mendapat bimbingan beliau dan rakan-rakannya.
Ketika di Singapura, Ustaz Ishak sempat mengikuti pengajian agama di Madrasah AlJoned dan beliau boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Di sanalah jugalah beliau menaruh minat dalam perjuangan Islam ekoran dari kemuncaknya Rusuhan Natrah yang cukup terkenal itu. Sekembalinya ke tanah air, beliau terus aktif dalam PAS dan pernah diamanahkan sebagai Ketua Pemuda PAS negeri dalam tahun 1960an.
Selepas penutupan pusat latihan kajisawat di Kuala Pilah, Ustaz Ishak telah berhijrah ke Ipoh, Perak. Bermacam-macam kerja dilakukannya untuk menyara ahli keluaraga yang ramai. Kerja terakhirnya sebelum bersara wajib tahun 1985 ialah di Majlis Perbandaran Ipoh. Kembalinya ke kampung itu memang ditunggu-tunggu oleh Haji Sulaiman dan Haji Abdul Aziz, mereka berjaya menubungkan cawangan PAS Kg Geylang dan menjadikan Balai Islam Geylang sebagai pusat kegiatan kemasyarakatan.
Dilantik Pesuruhjaya
Ekoran dari keaktifan beliau dalam parti selepas pilihanraya 1990, PAS Pusat telah menaruh keyakinan untuk menyerahkan ‘baton’ kepimpinan negeri kepada beliau pada sesi 1993/97. Di bawah kepimpinan beliau, banyak masalah dalaman dapat diatasi dan boleh dikatakan tempoh tersebut sebagai ‘tahun ceria’ kerana hubungan organisasi segenap peringkat cukup baik. Namun, kedudukan kewangan beliau memang menyedihkan dan penyusun sendiri begitu simpati dengan kedhaifan beliau. Allahyarham pernah memberitau penyusun tentang keuzurannya tetapi beliau bertekad untuk terus berjuang walaupun jatuh tersungkur.
Kata-kata beliau ini memang terakam dalam laporan tahunan Mesyuarat Agong Tahunan PAS Kawasan Jelebu 1997. Apabila mendapat panggilan telefon berita kematiannya, penyusun terbungkam dalam keharuan apabila dinyatakan Allahyarham memang rebah sewaktu mengendalikan mesyuarat parti di Balai Islam Geylang. Ratusan orang telah datang menziarahi Allahyarham dan sholat jenazahnya diimamkan oleh Tuan Guru Haji Jaliluddin Abdul Wahid. Beliau meninggalkan seorang balu bernama Puan Darwiah Mohd Shariff berserta 10 orang anak dan berbelas cucu. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya dan menempatkan beliau dalam golongan yang dijanjikan Allah dalam kebaktian terhadap agamaNya. Amin.
( rencana ini pernah disiarkan dalam Harakah 20 Mei 1997)